Sinopsis Labu dan Labi
Slot Teater Legenda kali ini membawakan
sebuah lagi filem hebat arahan Allyarham Tan Sri P. Ramlee bertajuk “Labu dan Labi”, akan bersiaran pada 2 April 2018, pukul
9.30 malam, di TV2.
Saksikan gandingan lucu P. Ramlee dan Mohd.
Zain sebagai Labu dan Labi, orang gaji kepada Haji Bakhil, seorang tua yang sangat kedekut. Isterinya yang
penyabar dan setia serta anak perempuan mereka yang cantik, Manisah, melengkapkan
sebuah keluarga yang hidup harmoni.
Kedua-dua Labu dan Labi
sering dimarahi, dimaki dan dipaksa melakukan hukuman kanak-kanak iaitu ketuk-ketampi oleh Haji Bakhil tetapi tetap bertahan untuk
bekerja dengannya kerana masing-masing dalam diam menaruh hati kepada Manisah.
Satu malam apabila mereka
berdua hendak tidur di beranda rumah Haji Bakhil, seperti biasa mereka berdua
memulakan cerita tentang angan-angan masing-masing. Cerita angan-angan mereka
bermula di sebuah kelab malam. Labi berangan yang dia adalah majistret yang
ingin ke kelab malam untuk berjumpa dengan Labu, yang juga berangan menjadi
seorang doktor. Haji Bakhil muncul sebagai pelayan untuk mengambil pesanan
mereka. Labu dan Labi kemudiannya menyaksikan dua persembahan.
Selepas persembahan, Labu
menuju ke belakang pentas untuk menemui Sarimah di
bilik persalinannya, tetapi ketika dia berbual dengan Sarimah, Labi muncul
dengan tujuan yang sama. Labu dan Labi mula bertelagah, dan pertelagahan mereka
terlalu kuat hingga mengejutkan Haji Bakhil yang menjerit menyuruh mereka
kembali tidur.
Tidak terhenti di situ,
mereka berdua meneruskan bercerita angan-angan mereka. Kali ini Labu berangan
untuk menjadi Tarzan Melayu yang memakai keris manakala Labi menjadi seekor
harimau tidak berekor dan Haji Bakhil menjadi chita, seekor monyet yang juga
tidak berekor. Labi ingin memakan Labu dan perlawanan bermula hingga sekali
lagi Haji Bakhil muncul dan memarahi mereka.
Giliran Labi pula untuk
bercerita tentang angan-angannya. Labi mengatakan dia lebih suka
menjadi koboi yang boleh tangkap
penjahat dan dapat banyak ganjaran. Dia berangan yang dia seorang sherif
manakala Labi menjadi Jesse Labu, adik bongsu Jesse James.
Haji Bakhil sekali lagi muncul dan kini dia menjadi cucu Haji Bakhil yang
menjadi pelayan bar. Labu dan Labi memulakan perlawanan tembakan dan bunyi
pistol dari mulut mereka membangunkan sekali lagi bos mereka. Haji Bakhil
mengarahkan mereka bagun awal dan bekerja awal-awal sebagai denda.
Pagi esoknya, Labu ke hutan
mencari kayu api seperti yang disuruh Haji Bakhil. Ketika itu, dia terlihat
sekumpulan lelaki yang mencurigakan memasuki satu bilik rahsia di dalam bukit
kecil. Selepas orang itu pergi, Labu memasuki bilik tersebut dan menemui
sejumlah harta yang banyak di situ. Labu mengambil harta itu dan menghilangkan
diri.
Di rumah Haji Bakhil,
mereka bersedih kerana kehilangan Labu. Walau bagaimanapun, mereka dikejutkan
dengan kemunculan rombongan peminangan Labu terhadap Manisah. Haji Bakhil
menolak pinangan dan Labu berjumpa dengan seorang bomoh untuk menyihir Manisah,
menyebabkan dia tidur dan tidak bangun-bangun. Labu menghantar pesanan yang dia
akan menyembuhkan Manisah sekiranya Haji Bakhil menerima pinangannya.
Setelah menyaksikan perkara
tersebut, Labi menemui seorang pendeta yang memberikannya batu hikmat, yang
apabila dicelupkan ke dalam air akan menyebabkan air tersebut menjadi ubat kepada semua penyakit
dan sihir. Labi mengunakan batu tersebut untuk menyembuhkan Manisah. Haji
Bakhil gembira lalu membenarkan Labi mengahwini Manisah.
Pada hari perkahwinan, Labu
datang ke rumah Haji Bakhil dan mengenakan jampi yang menyebabkan semua
tertidur. Walau bagaimanapun, Labi tidak dipengaruhi jampi dan menggunakan batu
hikmat untuk membangunkan Manisah pula. Labu memasuki rumah untuk menculik
Manisah tetapi Labi menghalangnya dan pergaduhan bermula hingga Labu mengambil
kapak lalu menetak ke kepala Labi.
Pergaduhan mereka sekali
lagi mengejutkan Haji Bakhil. Labu masih tidak sedar dengan lamunannya walaupun
disimbah air oleh Haji Bakhil. Labu yang masih keliru antara mimpi dan
kenyataan, memarahi Haji Bakhil. Manisah muncul di jendela meminta Labi mengeluarkan
basikalnya tetapi Labu menyambar jendela dan memujuk Manisah meninggalkan Labi
dan mengahwininya. Manisah yang berasa aneh mengatakan yang Labu masih bermimpi
dan baru dia sedar.
Haji Bakhil, yang masih
marah dengan mereka berdua yang mengganggu tidurnya sepanjang malam menghukum
mereka untuk ketuk
ketampi.
Jika tidak sempat untuk menonton
di TV, juga berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik
(myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat
turun aplikasinya di Google Play dan App Store.
Sumber oleh: RTM
Sumber oleh: RTM
Comments